training insken. realiti masa kini.

Hi, Selamat Sejahtera dan Selamat Pagi!

Bagaimana hari anda? Hari ini adalah hari Rabu. Diharapkan anda sihat sejahtera tatkala musim panas yang sedang melanda negara kita. Banyakkan minum air dan sentiasa berhidarasi. Ini merupakan kali kedua catatan saya di tulis di dalam Bahasa Malaysia kerana catatan ini ditujukan khas kepada masyarakat umum Malaysia.

Semasa catatan ini ditulis, saya sedang duduk di sebuah kafe berhampiran dengan kawasan perumahan saya di Semenyih. Kebetulan sekarang merupakan musim cuti persekolahan di Malaysia. Tidak hairan lah sepanjang pemanduan saya, tidak banyak kenderaan yang kelihatan di atas jalan raya. Maka, saya terpanggil untuk menulis ulasan yang jujur tentang latihan INSKEN yang saya hadiri minggu lepas.

Pada Jumaat lepas, saya menghadiri kursus Latihan Asas Industri: Bakeri yang dianjurkan oleh INSKEN - Institut Keusahawanan Negara. Latihan ini adalah rentetan dari kursus Latihan Asas Industri: Kafe dan Restoran yang saya hadiri pada bulan Mac yang lepas.

Pada hari pertama, kami diperkenalkan kepada tenaga pengajar, Cik Anne Idris, Puan Tasha dan Cik Ogie dari My Mum’s Bakery oleh Encik Ikmal, wakil dari INSKEN. Cik Anne Idris merupakan usahawan wanita yang tidak asing lagi dalam dunia perniagaan bakeri. Sejujurnya, saya tidak pernah mendengar mahupun mengenali Cik Anne Idris dalam dunia perniagaan bakeri di Malaysia. Setelah Cik Anne Idris menceritakan kisah kehidupan dan pengalaman lepas beliau, ternyata beliau bukan calang-calang lagi dalam industri bakeri di Malaysia.

17 tahun dalam perniagaan sememangnya mendewasakan Cik Anne Idris dalam industri bakeri. Kisah RM 5.00 sememangnya menyayat hati dan memberikan pengajaran berguna pada saya. Saya berpendapat bahawa kesusahan yang dialami Cik Anne menjadikan beliau begitu kuat dan tabah dalam menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang.

Karekter Cik Anne Idris yang tegas dan kuat sangat diperlukan sebagai seorang usahawan. Kebanyakan usahawan wanita yang saya temui mempunyai karekter sedemikian. Disebalik ketegasan itu, Cik Anne Idris adalah seorang wanita yang berdiplomasi dan lembut - cewahhhh!!! Penyampaian yang diberikan oleh beliau begitu terkesan serta memberikan impak yang mendalam di dalam hati peserta.

Cik Anne banyak berkongsikan tentang realiti dan praktikaliti dalam perniagaan bakeri. Contohnya, beliau berkongsi tentang “Magic Number” dimana ini merupakan tetapan target sasaran dalam jumlah jualan bulanan. Dari sini, kita dapat membuat anggaran tentang berapakah tenaga kerja, barang mentah dan memotivasikan usahawan dalam mencapai petunjuk prestasi utama dalam melakukan perniagaan seharian.

Kami juga mempelajari perkara baharu dalam pengiraan kos. Teknik dan pendekatan yang Cik Anne gunakan dalam perniagaan beliau dilihat suatu pendekatan jangka masa panjang yang realistik dalam menghadapi kos barang mentah yang meningkat. Pendekatan ini membuatkan kami sedar tentang pengiraan kos yang kami lakukan selama ini adalah kurang tepat. Kesannya, ia menyebabkan margin keuntungan yang rendah akibat tekanan harga barangan mentah yang meningkat.

Kami juga mempelajari cara pemasaran yang betul dalam aspek media sosial. Kami diberikan tugasan untuk melakukan klip video pendek untuk mempromosikan produk kami. Sejujurnya, saya memang tiada kemahiran dalam mempromosikan produk jualan secara video. Tugasan ini memaksa saya untuk keluar dari kepompong selesa (saya seorang yang pemalu dan tidak yakin dalam persembahan saya dihadapan kamera) yang saya duduki selama ini. Ternyata, ianya mudah untuk dilakukan. Dengan praktis berterusan, saya percaya saya akan selesa melakukan video promosi produk saya seterusnya membantu meningkatkan imej jenama saya dalam masyarakat Malaysia khususnya.

Modul seterusnya adalah latihan praktikal di My Mum’s Bakery. Latihan ini membuka mata kami. Kami berpengalaman sendiri melihat operasi perniagaan kafe ini. Dari perkhidmatan pelanggan, penyediaan produk bakeri sehingga susun atur barang-barang mentah di dalam stor, ianya suatu pengalaman yang tidak akan dilupakan oleh saya.

Di dalam modul ini juga, saya berinteraksi bersama para pekerja untuk mengetahui pandangan serta pengalaman bekerja di My Mum’s Bakery. Saya merumuskan bahawa sesebuah perniagaan itu berjaya adalah kerana budaya tempat kerja, prosedur standard operasi dan juga khidmat pelanggan yang sangat penting.

Saya sempat menemubual beberapa pekerja di My Mum’s Bakery. Encik Hadi merupakan salah seorang pekerja yang sudah lama dan setia bersama Cik Anne selama 17 tahun ini. Encik Hadi yang berasal dari Kelantan berkongsikan tentang kisah beliau serta bagaimana pengalaman bekerja bersama Cik Anne selama 17 tahun di dalam industri bakeri ini.

Manakala Encik Adam merupakan seorang pelajar praktikal di My Mum’s Bakery. Encik Adam mempunyai cita-cita untuk bekerja sebagai chef pastri di pelantar minyak. Kebetulan kerjaya profesional saya sebagai jurutera minyak dan gas serba sedikit memberikan pandangan kepada Encik Adam tentang prospek kerjaya sebagai cef pastri di gallei pelantar minyak. Encik Adam seorang lelaki muda yang mempunyai cita-cita yang tinggi. Saya mendoakan Encik Adam mencapai impian sebagai cef pastri terkenal suatu hari nanti.

Melihat bagaimana Cik Anne menolong dan membangunkan kemahiran anak muda tempatan yang latar belakangnya dari keluarga susah dan pendapatan yang rendah, ianya memberikan saya inspirasi serta kepastian untuk meneruskan hasrat saya memulakan perniagaan bakeri ini.

Ini kerana selain tujuan utama saya memulakan perniagaan bakeri adalah disebabkan kerana minat saya yang mendalam terhadap bakeri. Dalam jangka masa panjang pula, saya ingin membangunkan skil anak-anak muda tempatan dalam industri perniagaan bakeri disamping membina kemahiran insaniah yang akhirnya memberikan impak dalam segenap aspek kehidupan mereka.

Pada pandangan saya, sesi praktikal ini merupakan sesi yang paling menarik kerana ianya adalah perkongsian pengalaman dan masalah sebenar para peserta dan tenaga pengajar dalam menjalankan perniagaan. Satu perkara yang saya suka di dalam kursus ini adalah keterbukaan para peserta dan juga tenaga pengajar dalam berkongsi pengalaman, rahsia perniagaan, dan juga kekuatan dalam perniagaaan masing-masing.

Saya berpendapat juga bahawa generasi kami sangat terbuka dalam berkongsi pengalaman, ilmu dan rahsia kejayaan. Perkara ini dikatakan kerana generasi kami berusaha kuat untuk mencapai kejayaan dan berusaha memikirkan pelbagai inovasi dalam meningkatkan khidmat dan mutu perniagaan demi kelangsungan perniagaan secara beterusan. Kami berpendapat juga adalah penting untuk membantu antara satu sama lain kerana akhirnya, rantaian bekalan (supply chain cycle) adalah terkait antara satu sama lain dalam bentuk pemasaran, bahan mentah, teknologi dan lain-lain.

Berdasarkan pengalaman saya sebagai seseorang yang menjalankan perniagaan dari rumah, pengalaman dari Cik Anne yang sudah menjalankan perniagaan yang sudah berbelas tahun adalah penting kerana adanya sudut pandang sisi yang tidak pernah diketahui oleh saya. Ini menyebabkan pemikirian dan perspektif saya berubah 360 darjah secara terus. Saya juga merasa terbuka dan kagum dengan perkongsian yang diluahkan oleh para peserta. Masing-masing mempunyai cabaran yang tersendiri. Dari sokongan ahli keluarga hinggalah kepada kepuasan dalam pekerja harian merupakan cabaran-cabaran yang dialami oleh para peserta.

Mengambil iktibar dari Cik Anne dan juga para peserta, saya berpendapat bahawa amat digalakkan untuk meneruskan perniagaan dari rumah dahulu dalam kita mengharungi cabaran ekonomi masa kini. Ketidaktentuan ekonomi, harga barang mentah yang kian meningkat saban bulan serta kos memulakan kedai bakeri secara fizikal yang tinggi adalah dilihat tidak kondusif pada masa kini.

Mana tahu suatu hari nanti, impian saya untuk membuka kafe bakeri seperti Jaslyn Cake, Kenny Hills Baker dan Tommy Le Baker akan tercapai? Sama-sama lah berdoa agar saya dan rakan-rakan baker dapat mencapai impian kami dan seterusnya meningkatkan mutu dan kualiti industri bakeri di Malaysia setanding industri bakeri di Amerika Syarikat dan United Kingdom akhirnya.

Sebagai rumusan, pengalaman menghadiri kursus ini akan saya hargai sampai bila-bila. Dan saya secara peribadi mencadangkan anda yang datang dari pelbagai latar belakang dan pengalaman untuk menyertai kursus anjuran INSKEN ini.

Bagaimana penulisan saya dalam Bahasa Malaysia? Dan pengalaman yang dikongsi? Kongsikan pendapat anda dalam ruangan yang disediakan dibawah.

Layari laman web INSKEN di sini untuk maklumat lanjut. Dan juga jangan lupa melawat My Mum’s Bakery di instagram untuk mendapatkan inspirasi serta mengambil pesanan bakeri untuk santapan anda sekeluarga.

Semoga berjumpa lagi di catatan akan datang!
Selamat Sejahtera,
Emir S.

Previous
Previous

three rules i follow in organising my kitchen.

Next
Next

passionate about baking.